Pages

Friday, August 12, 2011


RISALAH KEPADA AHLI SUNNAH; 
PELAKSANAAN DAKWAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH DI MALAYSIA


3. MASALAH FANATIK KEPADA PENDAPAT GURU-GURU  TERTENTU SAHAJA DALAM  PERBAHASAN SOAL AGAMA TERUTAMA DALAM BIDANG FURUK/RANTING


Sebab utama kesilapan ini berlaku di kalangan Ahli AsSunnah di Nusantara ialah kelemahan kemantapan ilmu dari guru-guru atau ustaz-ustaz serta pemimpin-pemimpin gerakan AsSunnah. Jika diperhatikan dari sudut sejarah, kita dapati bahawa kejayaan gerakan AsSunnah yang lampau di Negara-negara Islam lain mempunyai dua ciri berikut;

a. Guru dan pemimpin yang benar-benar alim dalam setiap bidang ilmu agama dan mantap dalam melaksanakan dakwah mereka sesuai dengan hal keadaan sekeliling ditempat dan zaman mereka menerokai dakwah AsSunnah.

b. Sering mereka didokongi oleh institusi-institusi gedung ilmu yang
kukuh demi melahirkan dan menjamin (a) di atas. Kita amat bersyukur dan berterima kasih di atas kesungguhan beberapa personaliti pejuang AsSunnah di kalangan masyarakat Melayu Malaysia seperti Sh. A.Hasan Bandung, Sh. Abu Bakar, Sh. Hashim A. Ghani, Sh. Abdullah Al Qari, dan lain-lain dalam setengah abad yang lalu. 

Kemudian timbul pula generasi baru yang terdiri dari bekas pelajar-pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa di Madinah, Universiti Ummul Qura Mekah, Universiti Al-Imam di Riyard, Universiti Abu Bakar di Karachi dan Universiti Jordan. Jika diteliti, penerapan dakwah AsSunnah di Malaysia khususnya baru hanya melalui proses yang singkat. 

Usaha-usaha terawal berkitar dengan dakwah AsSunnah secara zahiri yang terpengaruh dengan kitab AlMuhalla oleh Abu Daud Az Zahiri terutama di Perlis dan Negeri Sembilan. Setelah pulangnya pelajar-pelajar muda dari Timur Tengah, dakwah AsSunnah mulai bergerak lebih pantas. Tetapi malangnya, banyak dari pelajar-pelajar lulusan Madinah, Mekah dan Riyard lebih mementingkan mengejar jawatan dan sijil dari dakwah AsSunnah hakiki. Bahkan banyak pula yang masih terjebak dengan haraki secara politik ala Ikhwan Muslimin dari penekanan kepada masalah aqidah. 

Akhirnya hanya tinggal beberapa kerat ustaz-ustaz AsSunnah sahaja yang benar-benar aktif dalam berdakwah kepada AsSunnah. Dengan sebab kekurangan pilihan guru-guru yang mantap, maka pendokong-pendokong AsSunnah terpaksa bergantung kepada beberapa personaliti sahaja.

Perbahasan berkenaan isu-isu AsSunnah pula belum mencapai tahap matang dan meluas. Maka kebanyakan idea AsSunnah bergantung penuh kepada hanya beberapa personaliti sahaja. Sebenarnya fenomena ini bukanlah satu kesilapan. Ia hanyalah satu proses pematangan yang memerlukan masa yang lebih panjang. Untuk pemantapan dan kematangan ilmu AsSunnah memerlukan:

a. Lebih banyak pelajar-pelajar yang pergi mendalami ilmu di institusi-institusi AsSunnah di Timur Tengah.

b. Pelajar-pelajar ini mestilah yang berkualiti tinggi dari sudut keilmuan dan kemampuan intelek.

c. Pelajar-pelajar ini juga mesti dari golongan yang ikhlas dan sedar keatas kepentingan dakwah AsSunnah serta tidak terbabas mengejar pangkat dan sijil.

d. Didirikan institusi-institusi ilmu mengajar pengajian AsSunnah dengan gigih.

e. Mewujudkan institusi R&D (Research & Development) yang kukuh dalam mengkaji dan memajukan pemikiran dan kefahaman AsSunnah.



No comments:

Post a Comment