Monday, October 24, 2011


FITRAH YANG SUCI MENYAKSIKAN KEWUJUDAN ALLAH TANPA SEBARANG DALIL

Al-Quran tidak membincangkan dalil-dalil berkenaan kewujudan Allah secara berpanjangan. Ini adalah kerana Al-Quran telah menetapkan bahawa fitrah atau tabiat semula jadi manusia yang suci dari unsur-unsur syirik dengan secara tersendirinya mengakui kewujudan Allah tanpa memerlukan sebarang dalil. Sesungguhnya fitrah ini telah ditanamkan oleh Allah di dalam sanubari setiap insan. Ia merupakan satu perasaan semula jadi yang sentiasa merasakan kewujudan Allah yang mengatasi segala ciptaan alam semesta dengan tidak mengira betapa pandai atau betapa jahilnya insan tersebut. 


Firman Allah dalam Surah Al-A’raf 



وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُم قَالُوا بَلَىٰ شَهِدْنَا أَن تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".




Dalam hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud:


"Setiap bayi dilahirkan atas fitrah, maka kedua ibubapanya yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi”.

Jika kita telitikan hadith ini kita dapati bahawa Rasulullah saw tidak menyebutkan Islam kerana Islam adalah bertepatan dengan fitrah. Dalam syarahannya terhadap hadith ini Ibnu Hajar Al-Asqalani telah mengatakan bahawa: “Pendapat yang paling masyhur berkenaan apa yang dimaksudkan oleh fitrah itu ialah Islam. Berkata Ibnu Abdul Bar: Ia (pendapat ini) adalah masyhur di semua kalangan ulama’ salaf”. (Kitab Fathul-Bari, Jilid 3, muka surat 248)

Di samping itu kita juga dapati bahawa fitrah yang suci bukan sahaja menjadi saksi akan wujudnya Allah. Ia juga menjadi saksi semula jadi terhadap ketauhidan dan keesaan Allah tanpa perlu dipersoalkan oleh akal. Ini sesuai dengan firman Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 30:



فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفا فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.



Menurut satu riwayat, seorang ulama yang soleh telah diberitahukan kepadanya pada suatu hari bahawa seorang hamba Allah dari golongan ulama’ ilmu kalam telah menghasilkan seribu dalil sebagai membuktikan wujudnya Allah. Maka jawab ulama’ yang soleh itu, “Kemungkinan dia mempunyai seribu keraguan (syubahat) dalam dirinya (berkenaan wujudnya Allah)!” Jawapan ini adalah merupakan sejelas-jelas dalil yang menunjukkan bahawa wujudnya Allah itu adalah perkara yang tiada memerlukan apa-apa bukti yang lain untuk menerimanya.



PENYELEWENGAN DARI FITRAH YANG SUCI

Berdasarkan perbincangan di atas, timbul pula satu persoalan bahawa jikalau benarlah beriman kepada wujud Allah itu satu perkara fitrah semula jadi dalam jiwa manusia, mengapakah kita masih dapati golongan pada setiap zaman yang menyembah berbagai jenis tuhan selain dari Allah?

Jawapannya ialah walaupun fitrah itu mengajak manusia ke arah Pencipta, tetapi manusia juga hidup dipengaruhi oleh berbagai-bagai keadaan yang boleh menyelewengkannya dari beribadat semata-mata kepada yang Hak yang sepatutnya Dia sahaja yang berhak disembah atau diabdikan. Dengan sebab itulah kita dapati hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim tadi menyarankan bahawa tiap-tiap manusia itu dilahirkan dengan fitrah; maka ibu bapanyalah yang meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya. Rasulullah saw tidak menyebut “mengIslamkannya” kerana Islam itu adalah bertepatan fitrah. Seterusnya kita mungkin pula menyoal: “Kalaulah kita biarkan seorang bayi itu tanpa keadaan sekeliling mempengaruhi fitrahnya, adakah ia akan menjadi seorang yang mengesakan dan mengenali Tuhannya?”. Di sini dapat kita jelaskan pula peranan syaitan yang senantiasa mengganggu manusia di atas ikrar mereka untuk menyesatkan bani Adam seperti yang dikisahkan dalam Al-Quran dalam Surah Sad ayat 82-83



قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

Iblis berkata: " Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, -

إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ
" Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan ".

Di dalam hadith sahih riwayat Imam Al-Bukhari, Rasulullah saw telah menerangkan bahawa “Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam tubuh bani Adam seperti darah mengalir dalam saluran urat-uratnya”. Begitu juga dalam Kitab Sahih Muslim kita dapati satu potongan dari hadith qudsi di mana Allah telah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Aku telah jadikan hamba-hamba-Ku semuanya suci dan kemudian mereka telah dipengaruhi oleh syaitan lalu menyesatkan mereka dari agama mereka”.



KEJADIAN MUSIBAH MENYUCIKAN PERASAAN FITRAH

Dari pengalaman-pengalaman yang amat banyak kita dapati manusia sentiasa kembali kepada fitrah semula jadi mengingati Tuhan apabila mereka ditimpa musibah atau bala’ seperti mana firman Allah dalam Surah Yunus ayat 22:



هُوَ الَّذِي يُسَيِّرُكُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ حَتَّىٰ إِذَا كُنتُمْ فِي الْفُلْكِ وَجَرَيْنَ بِهِم بِرِيحٍ طَيِّبَةٍ وَفَرِحُوا بِهَا جَاءَتْهَا رِيحٌ عَاصِفٌ وَجَاءَهُمُ الْمَوْجُ مِن كُلِّ مَكَانٍ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ أُحِيطَ بِهِمْ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ لَئِنْ أَنجَيْتَنَا مِنْ هَٰذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ

Dia lah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): "Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur".


Kita sering mendengar bagaimana penumpang-penumpang kapal terbang yang rosak di udara merasakan bahawa tiada sesuatu yang lain lagi yang dapat menyelamatkan mereka lalu memalingkan arah pengharapan mereka kepada Pencipta sekelian alam. Pada ketika ini mereka kembali kepada fitrah mereka yang suci dengan ikhlas serta terhapuslah perasaan syirik dan kufur.



KAUM MUSYRIKIN YANG TELAH DIUTUSKAN RASULULLAH SAW KEPADA MEREKA MENGAKUI AKAN WUJUDNYA MAHA PENCIPTA

Apabila diutuskan Rasulullah saw maka ia dapati bahawa kaumnya seperti umat-umat yang lain, menyembah tuhan-tuhan daripada makhluk-makhluk di muka bumi dan di langit di samping menyembah Allah. Mereka tidak mengingkari wujudnya Allah dan tidak juga berbalah berkenaan kewujudan-Nya. Dengan ini, kita dapati Al-Quran menerangkan dalam Surah Az-Zumar ayat 38:



وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلْ أَفَرَأَيْتُم مَّا تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ إِنْ أَرَادَنِيَ اللَّهُ بِضُرٍّ هَلْ هُنَّ كَاشِفَاتُ ضُرِّهِ أَوْ أَرَادَنِي بِرَحْمَةٍ هَلْ هُنَّ مُمْسِكَاتُ رَحْمَتِهِ قُلْ حَسْبِيَ اللَّهُ عَلَيْهِ يَتَوَكَّلُ الْمُتَوَكِّلُونَ

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahaya-Nya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmat-Nya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".

Walaupun wujud pada zaman Rasulullah saw segolongan kecil (seperti golongan Ad-Dahriah) yang mengingkari wujudnya Allah (sila lihat Surah Al-Jathiah : 24) 



وَقَالُوا مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَا إِلَّا الدَّهْرُ ۚ وَمَا لَهُم بِذَٰلِكَ مِنْ عِلْمٍ إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ


Dan mereka berkata: "Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman". Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.




.... tetapi kita dapati bahawa Al-Quran pada keseluruhannya tidak memberatkan penekanan ke atas mereka. Sebaliknya Al-Quran kebanyakannya mengarahkan perbahasannya kepada golongan musyrikin yang menyekutukan Allah. Oleh itu kita dapati bahawa rukun yang pertama dalam risalah dan dakwah Islam adalah berdasarkan kalimah tauhid seperti yang dinyatakan Al-Quran Surah Al A'raf



لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِ فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)"




وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ أَفَلَا تَتَّقُونَ

Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepada-Nya? "

وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ قَدْ جَاءَتْكُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ هَٰذِهِ نَاقَةُ اللَّهِ لَكُمْ آيَةً فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِي أَرْضِ اللَّهِ وَلَا تَمَسُّوهَا بِسُوءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.



KEKUFURAN MANUSIA PADA ZAMAN INI ADALAH LEBIH BESAR LAGI

Sepatutnya memadailah bagi kita agar tidak memanjangkan perbincangan berkenaan wujud Allah oleh kerana fitrah semula jadi kemanusiaan itu sendiri menjadi saksi di atas wujudnya Allah. Malangnya penyelewengan dalam bidang aqidah pada zaman ini telah mencapai had yang paling bahaya sekali. Kita dapati sekarang golongan-golongan yang terus mengingkari sama sekali wujudnya Maha Pencipta. Bahkan mereka jadikan pula pendapat ini sebagai pegangan dan pedoman hidup mereka serta mendirikan negara-negara yang mengandungi beratus-ratus juta penduduk berdasarkan pendapat tersebut sepertimana yang kita dapati di negara-negara sosialis atau komunis. Maka tersebarlah kitab-kitab yang telah dikarang untuk mengajarkan falsafah tersebut hinggakan ia diakui sebagai salah satu ideologi pegangan hidup dan seterusnya mempengaruhi “pemikir-pemikir Islam”. 

Akhirnya mereka cuba mencantumkan kekufuran Islam melalui nama-nama seperti “sosialisme Islam” dan lain-lain lagi. Fahaman ini diketuai oleh Karl Marx yang antara lain telah mengatakan bahawa “agama itu adalah racun masyarakat". Beliau juga mengatakan agama itu adalah merupakan tipu helah yang direka oleh orang kaya dan sasterawan bertujuan untuk menguasai golongan yang lemah yang kononnya keindahan akhirat adalah direka demi untuk mengawal dan menguasai kenikmatan di dunia pada diri mereka sahaja (iaitu golongan-golongan kaya)”. Marx telah mengatakan bahawa “sesungguhnya Allah tidak menjadikan manusia bahkan yang sebenarnya manusialah yang menciptakan Allah”.

Pada hakikatnya kita dapati bahawa keadaan yang dilalui oleh dunia Kristian dalam kurun-kurun kesembilan belas masehi terutama sekali di Eropah telah menyebabkan ramai dari pengikut-pengikutnya yang kufur dari agama mereka lalu mengingkari atau mengesyaki akan wujudnya tuhan. Sebenarnya mereka tidak mengingkari akan agama yang hak atau tuhan yang hak. Tetapi mereka mengingkari tuhan gereja-gereja barat dan agama yang dibawanya. Di waktu tersebut gereja-gereja telah membantu kezaliman, kefasadan dan kejahilan. Mereka membunuh beribu-ribu ahli fikir dan pakar-pakar sains yang mengingkari pendapat mereka kononnya atas nama agama mereka dan nama tuhan mereka Al-Maseh. Maka timbullah golongan-golongan yang mengingkari perkara-perkara “ghaib” seperti konsep ketuhanan, wahyu, malaikat, akhirat, syurga dan neraka; lalu diganti dengan fahaman yang berdasarkan perasaan dan kebendaan seperti fahaman-fahaman sosialisme, komunisme, liberalisme, pragmatisme, nihilisme, nasionalisme dan teori evolusi. 


Perkara ini pula sekarang sedang giat merebak mempengaruhi pemuda-pemudi kaum muslimin yang sama ada terdidik di negara-negara barat atau pun terdidik dengan cara pendidikan barat walau pun mereka berada di dalam negara mereka sendiri. Dengan sebab inilah maka kita terpaksa melanjutkan lagi perbincangan berkenaan cara-cara berdalil untuk membuktikan wujudnya Allah selain dari dalil fitrah semula jadi manusia.



SETIAP MAKHLUK PASTI ADA PENCIPTANYA (DALIL-DALIL SYARAK DAN KEJADIAN ALAM)

Seperti fitrah yang suci yang bersih dari sebarang pengaruh asing akan mengakui wujudnya Allah, maka kita dapati juga bahawa aqal yang suci itu jika diberi peluang untuk merenung dan berfikir tanpa sebarang pengaruh dari hawa nafsu, taqlid (ikutan) dan asabiyah (taassub atau fanatik), maka ia akan berakhir kepada pengakuan dan kepastian terhadap wujudnya Allah. Al-Quran sendiri membawa hujah-hujah yang tidak mungkin satu aqal yang suci dapat menolaknya seperti firman Allah dalam Surah At-Thur ayat 35 dan 36:



أَمْ خُلِقُوا مِنْ غَيْرِ شَيْءٍ أَمْ هُمُ الْخَالِقُونَ
(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?
أَمْ خَلَقُوا السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بَل لَّا يُوقِنُونَ

Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).




Sesungguhnya jika direnungi dan difikirkan akan segala sesuatu di dalam alam semesta ini kesemuanya kembali kepada Allah yang membuktikan kewujudanNya, bahkan keesaanNya dalam memiliki dan mentadbir segala sesuatu serta membuktikan nama-nama dan sifat-sifatNya yang suci dan tinggi. FirmanNya dalam Surah Az-Zariyat ayat 20 dan 21:



وَفِي الْأَرْضِ آيَاتٌ لِّلْمُوقِنِينَ
Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin,
وَفِي أَنفُسِكُمْ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?


Firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah 



إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَالْفُلْكِ الَّتِي تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِمَا يَنفَعُ النَّاسَ وَمَا أَنزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مِن مَّاءٍ فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَابَّةٍ وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ وَالسَّحَابِ الْمُسَخَّرِ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.



Amat banyak sekali ayat-ayat lain yang membincangkan kejadian alam sebagai membuktikan kewujudan, keesaan dan kebesaran Allah. Ayat-ayat ini pula sentiasa di akhiri dengan ayat-ayat seperti berikut:



يُنبِتُ لَكُم بِهِ الزَّرْعَ وَالزَّيْتُونَ وَالنَّخِيلَ وَالْأَعْنَابَ وَمِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir.
وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومُ مُسَخَّرَاتٌ بِأَمْرِهِ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintah-Nya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya.
وَمَا ذَرَأَ لَكُمْ فِي الْأَرْضِ مُخْتَلِفًا أَلْوَانُهُ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّقَوْمٍ يَذَّكَّرُونَ
Dan apa-apa jua yang dijadikan untuk kamu di bumi yang berlainan jenisnya (dimudahkan juga untuk kegunaan kamu). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi kaum yang mahu mengingati nikmat Allah itu.



Para ulama’ di kurun-kurun yang terawal juga menggunakan uslub atau cara berdalil yang sama apabila menghadapi golongan-golongan yang mengingkari wujudnya Allah. Imam Abu Hanifah, misalannya, telah mengatakan kepada mereka: “Cuba kamu fikirkan sebuah kapal di lautan yang dipenuhi oleh berbagai-bagai jenis barang perniagaan lalu ia belayar tanpa sesiapapun menjaga dan memandunya; ia belayar ke sana ke mari dengan sendirinya; berjaya mengharungi ombak yang besar; dan berjalan menuju ke tempat yang dikehendakinya dengan sendirinya tanpa seorang pun memandunya”. Jawab mereka: “Perkara seperti ini tidak sepatutnya difikirkan oleh orang yang beraqal”. Lalu berkata Imam Abu Hanifah: “Betapalah kamu semua! Segala apa yang ada di alam ini sama ada yang tinggi atau yang rendah dan segala benda  yang tersusun kesemuanya tiada mempunyai pencipta?”. Maka kaum itu pun mendapat kesedaran dan kembali semula kepada yang hak lalu masuk Islam di tangannya.

Imam Malik pula apabila ditanya tentang wujudnya Allah maka ia telah berdalilkan dengan perbezaan bahasa, suara dan lagu. Begitulah juga uslub yang digunakan oleh Imam Syafei dan Imam Ahmad.


Sekiranya terdapat pengingkar yang merasakan dirinya besar dan berpendapat bahawa dialah yang menciptakan dirinya sendiri, maka ini adalah serupa dengan apa yang telah diceritakan dalam Al-Quran yang berbunyi:





أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِي حَاجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ آتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّيَ الَّذِي يُحْيِي وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا أُحْيِي وَأُمِيتُ قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأْتِي بِالشَّمْسِ مِنَ الْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ الْمَغْرِبِ فَبُهِتَ الَّذِي كَفَرَ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.



Di zaman ini terdapat pula usaha-usaha untuk membuktikan wujudnya Allah dengan kajian yang menakjubkan dari pakar-pakar sains dari bidang mikroskop hinggalah ke angkasa lepas. Kesemuanya ini adalah merupakan sebahagian dari lingkungan dalil-dalil kejadian alam semesta yang tiada putus-putus banyaknya jika kita renungkan dengan pemikiran aqal yang suci. 


Benarlah firman Allah (al Hadid 57:3)



هُوَ الْأَوَّلُ وَالْآخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالْبَاطِنُ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Dia lah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.


No comments: