PENERIMAAN GOLONGAN BID'AH TERHADAP ASWJ
Selepas zaman Rasulullah saw, empayar Islam telah menakluk negara-negara lain yang berjiran dengannya. Umat Muslimin mula berhadapan dengan kebudayaan dan adat resam yang berlainan. Mereka berusaha mempengaruhi negara-negara tersebut menerima Islam dan usaha-usaha ini telah diterima dengan baik. Maka penduduk-penduduk negara tersebut telah berusaha menterjemahkan sumber-sumber agama serta memahami dan menyesuaikan diri mereka dengan kefahaman dan kehidupan Islam yang tulin. Malangnya, di sebalik usaha-usaha ini, timbul juga golongan-golongan fasik yang cuba menyelewengkan keaslian sumber-sumber agama khususnya dalam aqidah.
Pada zaman pemerintahan khalifah Bani Abbasiyah yang bernama Al-Makmun (198-218H), usaha besar-besaran telah dilakukan untuk menterjemah buku-buku falsafah Yunani ke dalam Bahasa Arab terutamanya falsafah Socrates, Aristotle dan Plato. Falsafah ini berdiri di atas landasan logik akal atau mantiq semata-mata yang merupakan sumber ilmu yang utama kepada mereka.
Usaha terjemahan ini telah meninggalkan pengaruh yang mendalam dalam pemikiran segolongan umat Islam yang terpengaruh oleh falsafah musyrik ini.
Di antara kesan pengaruh ini ialah timbulnya kaedah hukum ‘aqli (akal) di mana akal diberi peranan utama dalam menentukan kefahaman aqidah Islam mengatasi peranan nas-nas Al-Quran dan Sunnah. Hasil dari ini, maka terdapat golongan-golongan yang kononnya cuba memperdekatkan sumber-sumber wahyu dengan falsafah Yunani lalu menamakan percampuran tersebut sebagai falsafah Islam atau ilmu kalam. Dengan ini berlakulah satu pencemaran sumber-sumber wahyu yang asli.
Berkata Al-Imam As-Syafie yang bermaksud: “Tiada manusia itu menjadi jahil dan berselisih pendapat melainkan disebabkan mereka meninggalkan bahasa Arab yang asli dan cenderung kepada bahasa (pemikiran) Aristotle”.
Katanya juga: “Hukumanku terhadap ahli kalam ialah dipukul mereka dengan pelepah tamar, kemudian diusung di atas unta mengelilingi kabilah-kabilah serta dilaungkan kepada mereka bahawa inilah balasan kepada sesiapa yang meninggalkan Al-Quran dan Hadith dan berpandukan ilmu kalam”.
Pencemaran ini disusuli pula dengan pengaruh hawa nafsu dalam penerimaan terhadap sumber-sumber wahyu tersebut. Maka timbul pula golongan-golongan yang mengatakan:
kami tidak beriman dengan perkara-perkara ghaib, atau kami tidak mengesahkan sesuatu perkhabaran wahyu melainkan khabaran itu diterima oleh akal.
Kemudian lahir pula golongan tariqat sufi menyeleweng yang mengatakan:
kami tidak menerima melainkan dari syeikh kami; kami tidak dapat berjalan melainkan menurut tariqat syeikh kami; kami tidak dapat memahami kehendak-kehendak Al-Quran dan Hadith melainkan dari syeikh kami.
Berikutan dari inilah timbul pula puak-puak kebatinan termasuklah golongan Syiah yang kemudiannya mempergunakan pengaruh politik pula untuk mengubah dasar dan sumber-sumber aqidah menurut kehendak hawa nafsu mereka.
Demikianlah seterusnya penyelewengan berlaku dalam cara penerimaan sumber aqidah yang menyebabkan perpecahan umat menurut kehendak akal dan hawa nafsu masing-masing.
Untuk memahami perkara ini dengan lebih lanjut, maka pembaca adalah dianjurkan membaca sendiri buku-buku berkenaan firqah-firqah Islamiyah (pecahan golongan-golongan Islam) yang asasi seperti Kitab “Maqalat Islamiyiin” oleh Abu Hasan Al-Asy‘arie dan kitab “Al-Milal wa An-Nihl”oleh As-Shahrastani.
Memadailah dengan merenungkan kenyataan ini:
Bagaimanakah cara penerimaan sumber-sumber aqidah oleh golongan-golongan yang menyeleweng ini dapat kita terima sebagai lebih afdhal dari cara penerimaan para sahabat, tabi‘in, imam-imam besar dalam feqah dan ahli-ahli hadith yang berpegang teguh dengan Al-Quran dan Hadith. Bagaimanakah dapat kita yakini bahawa cara golongan bid‘ah inilah yang lebih selamat dalam penerimaan aqidah.
Sudah pastilah cara penerimaan ulama’-ulama’ yang terawal adalah lebih selamat, lebih bijaksana dan lebih arif dari golongan-golongan bid’ah dalam kurun-kurun selepas mereka.
No comments:
Post a Comment