Monday, August 15, 2011

BAB 2: AQIDAH, AMALAN DAN MARTABAT DALAM ISLAM






2.1 AQIDAH DAN AMALAN

Meskipun seperti mana yang telah diterangkan dalam bab 1.1. bahawa masalah-masalah aqidah yang wajib diiktiqadkan adalah merupakan keyakinan hati terhadap perkara-perkara ghaib, tetapi kesempurnaan aqidah itu tidak pula akan berhasil tanpa disusuli oleh pelaksanaan dari amalan-amalan anggota badan. Di sinilah letaknya peranan definisi iman dalam mencantumkan antara aqidah dan amalan.


Kenyataan ini juga menjadi hujah menolak pendapat golongan-golongan selain dari golongan Ahli As-Sunnah Wal-Jamaah yang mengeluarkan atau mengasingkan amalan anggota badan dari definisi iman yang sahih seperti yang akan diterangkan dengan lebih lanjut lagi dalam bab 2.4.3 nanti.

2.2 MARTABAT-MARTABAT DALAM AGAMA

Agama Islam boleh dibahagikan kepada tiga peringkat: Islam, Iman dan Ihsan. Pada zahirnya apabila seorang itu mengucap dua kalimah syahadah, maka ia dianggap telah berpegang dengan agama Islam dan digelar sebagai seorang muslim. Apabila bertambah keyakinannya dengan amalan-amalan yang dianjurkan oleh Islam, maka ia naik ke peringkat Iman serta digelar sebagai seorang mukmin. Apabila sempurna iman seorang mukmin hingga sampai kepada kemuncak keimanan maka ia telah mencapai peringkat ihsan dan digelar sebagai seorang muhsin (semoga Allah memperkenankan kita semua mencapai ke peringkat ini).

Jika dihalusi pembahagian martabat-martabat di atas maka kita dapati bahawa definisi iman itu sebenarnya dengan tidak secara langsung telah merangkumi definisi Islam dan Ihsan menurut tingkatan amalan seorang mukmin. Iman itu naik dan turun (bertambah dan berkurang) menurut amalan seorang mukmin.* 

Perlu juga dijelaskan di sini bahawa dalil kepada pembahagian di atas berdasarkan kepada hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim berkenaan kisah seorang lelaki yang datang bertanya Rasulullah saw berkenaan Islam, Iman dan Ihsan serta tanda-tanda hari kiamat dan akhirnya Rasulullah saw memberitahu Umar ibnu Al-Khattab t bahawa:  

هَــذَا جِبْرِيْلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِيْنَكُمْ

yang bermaksud: “Sesungguhnya orang itu adalah Jibrail yang datang kepada kamu untuk mengajar kepada kamu agama kamu”. (sila rujuk Hadith Kedua dalam Kitab Hadith Empat Puluh oleh Imam An-Nawawi)


No comments: